20090731

Email to Vice Chancellor USM


Assalamualaikum Tan Sri.

Selaku Ko-ordinator Eco-Desa: Saujana juga PKS Desasiswa Saujana yang dilantik oleh Prof Madya Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim, Penggawa Desasiswa Saujana, untuk membantu Desasiswa Saujana khususnya dan Universiti amnya dalam menjayakan projek yang berkonsepkan Desasiswa Lestari, saya, Nur Mastura Mansor memaklumkan perkembangan terkini Eco-Desa: Saujana (EDS).


Terdapat 5 bahagian atau 5 projek yang kami laksanakan bertemakan kelestarian iaitu;

1. Cekap Tenaga mendapat kerjasama penuh daripada Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (CETREE) dan Jabatan Pembanguanan dan ia melibatkan perubahan fizikal prasarana di Desasiswa Saujana. Antaranya, pemasangan lampu LED, sensor elektrik dan panel solar pada perhentian bas sedia ada. Audit cekap tenaga secara manual dari bilik ke bilik pelajar adalah kayu ukur kami terhadap tahap penggunaan elektrik yang efisyen. Pemantauan dan rondaan oleh unit rondaan pada kala masa yang telah ditetapkan, membantu penghuni untuk bersama-sama mematikan lampu dan memberikan info kepada penghuni. Setiap penjimatan penggunaan elektrik akan mengurangkan bil elektrik bulanan. Pengurusan Kelestarian dari sudut ekonomi.

2. Saujana's Edible Garden adalah satu kawasan dimana sayur-sayuran dan buah-buahan ditanam di kawasan ini. Contohnya, serai, kucai, cili, bendi, betik, pisang dan sebagainya. Edible Garden bertujuan untuk memaksimumkan penggunaan kawasan lapang yang terdapat di kawasan desasiswa Saujana dengan bijak. Selain itu, penanaman sayuran di kawasan tersebut adalah bertujuan untuk menghijaukan kawasan yang ada. Sayuran yang berjaya ditanam akan dijual kepada pengusaha kafe Desasiswa Saujana pada masa akan datang. Kawasan penanaman sayuran tersebut adalah berhampiran dengan perhentian bas dihadapan Kafe Saujana Restu. Kami juga melaksanakan pengkomposan sisa makanan untuk dijadikan baja organik yang akan digunakan di Edible Garden. Kami mendapat khidmat nasihat dan kepakaran melalui Dr. Hasnah Md Jais, PP Sains Kajihayat. Kelestarian Alam.


3. Eat-Reward merupakan inisiatif untuk memberi kesedaran serta menggalakkan penghuni Desasiswa Saujana menikmati hidangan mereka di kafeteria atau hanya menggunakan bekas makanan dan minuman mereka sendiri (elakkan pembungkusan). Baucer makanan RM3 dan minuman RM1 akan diberikan kepada penghuni yang berjaya mengumpulkan 20 cop (kafe yang sama sahaja). Pelaksanaannya, penghuni membeli makanan RM2.50 ke atas dan minuman RM1 ke atas dengan makan dan minum di kafe atau membawa bekas makanan atau minuman sendiri sahaja yang akan diberikan cop. Penghuni juga digalakkan untuk meletakkan pinggan ke dalam bekas yang disediakan. Projek ini mendapat sokongan daripada Prof Lee Lik Meng, Kampus Sejahtera dan semua pengusaha kafetaria Saujana serta akan bekerjasama dengan MPD Restu dan pengusaha kafetaria Restu pertengahan semester ini. Kelestarian Alam, Ekonomi dan Sosial.

4. Kitar mata mengetengahkan konsep alternatif kitar semula secara kiraan mata. Penghuni digalakkan mengumpul sendiri barangan yang boleh dikitar semula. Barangan tadi, ditimbang dan berat setiap barang akan ditukar kepata mata mengikut klasifikasi yang telah ditetapkan mengikut ciri-ciri barang. Mata yang dikumpulkan di dalam kad matrik pelajar boleh digunakan (redeem) di Cyber Saujana (makmal komputer) dan D'Stor (sistem penyimpanan barang semasa cuti). Projek ini dibantu oleh Dr. Widad Ismail, PP Kejuruteraan Elektrik & Elektronik yang mendapat bantuan peruntukan daripada Prof Asma Ismail, TNC RI, serta Cik Nur Razeany Mohamad Razlan, Penolong Penggawa Desasiswa Saujana & PPKT Induk dan En. Mazlifendirizan Md Rejab, Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT Kampus Kejuruteraan). Projek ini bagaimanapun masih belum dapat dilaksanakan kerana terdapat masalah teknikal pada mesin penimbang.

5. Kempen merupakan nadi kepada EDS kerana unit ini yang banyak mempromosikan EDS dan menjalankan sebaran maklumat berkenaan EDS kepada penghuni Saujana dan seluruh masyarakat kampus. Mencipta logo EDS yang melambangkan identiti kami, menyiapkan rekabentuk, mengedar dan menampal serta menggantung poster, kain rentang, buku panduan dan juga edaran berkenaan EDS. Mewujudkan dan menyeleggara blog khas untuk EDS sebagai medan penyaluran pelbagai maklumat berkenaan EDS kepada sukarelawan dan penghuni (http://eco-desasaujana.blogspot.com/). Terkini, pada pelancaran Expo-ICT Heboh Buku yang lalu, unit ini telah menggerakkan sukarelawan untuk mempromosikan EDS kepada VIP yang dihadiri oleh TYT Pulau Pinang dan semua pengunjung yang hadir.

Terdahulu, saya selaku Ko-ordinator EDS telah diberi peluang untuk menjadi panel program Generasi Y yang disiarkan secara langsung melalui saluran RTM1 pada 4 Julai yang lalu untuk memperkatakan berkenaan 'Teknologi Hijau Dunia Lestari' bersama-sama Prof Hanafi. Terima kasih kepada En. Mohamad Abdullah, PRO. Alhamdulillah, EDS semakin dikenali dan diterima. Keesokannya, kami telah mengadakan Seminar Kelestarian kepada penghuni Desasiswa Saujana tahun 1 berkenaan EDS secara lebih mendalam. Melalui borang soal selidik sebelum dan selepas seminar, secara rawaknya, penghuni baru ini amat teruja dengan pendekatan pembangunan lestari yang dilaksanakan di desasiswa Saujana.

Kami, menjalankan semua projek dan perancangan ini dengan bersumberkan peruntukan APEX yang diamanahkan oleh ayahanda, TNC HEPP Prof Omar Osman, sebanyak RM 50,000 dan alhamdulillah segalanya berjalan dengan sangat baik. Pelbagai pembaharuan method ke arah melestarikan pemikiran dan suasana di desasiswa Saujana dapat kami laksanakan. Ayahanda TNC HEPP juga berbesar hati untuk menambah peruntukan EDS sebanyak RM 20,000. Syukrillah.

Pada awal september akan datang, saya dan Dr.Zainal Abidin Sanusi, RCE-Penang @ USM akan merancang untuk mengadakan bengkel 'Sustainability Leadership' kepada semua sekretariat EDS agar mereka lebih merasai tanggungjawab sebagai insan dalam mengurus alam dan kehidupan mendatang. Bengkel tersebut dibiayai sepenuhnya oleh RCE. Secara peribadinya, saya yakin pembawaan di dalam bengkel ini mampu mengubah persepsi peserta terhadap kelestarian. Ini adalah kali ke-3 saya mengikuti bengkel ini. Kali pertamanya sebagai peserta, kali ke-2 sebagai fasilitator dan kali ke-3 sebagai ko-ordinator EDS.

Seinfiniti terima kasih diucapkan kepada Tan Sri atas sokongan dan galakkan terhadap projek EDS ini. Selaku mantan MPPUSM 07/08 di mana pada ketika masih menyandang amanah, USM diiktiraf sebagai APEX U (September 2008), saya rasa amat teruja untuk membantu dalam menjayakan misi tersebut. Didorong dengan pengalaman ke Jepun bersama rakan-rakan MPP yang lain dan Dr. Zainal, saya berasa amat terpanggil untuk memberi dan melaksanakan konsep kelestarian yang saya perolehi ini diperingkat desasiswa. Terima kasih sekali lagi atas sokongan semua dan Tan Sri, saya amat menghargainya.

Sekian dahulu informasi berkenaan EDS. Insya-Allah, laporan penuh KPI akan berjaya disiapkan pada penghujung Semester ini. Bagaimanapun, laporan dari semasa ke semasa akan dikemaskini.


Terima kasih, Tan Sri.

"Ke Arah Melestarikan Desasiswa Saujana"
'Keunikan Suatu Keistimewaan'

-Nur Mastura Mansor-
nur_mas2ra@yahoo.com
013-2355801

Expect the Unexpected

No comments:

Post a Comment