Analoginya begini;
Saya ingin menuju ke Ipoh dari Melaka, menaiki kereta kesayangan saya, PHT3262.
Sebelum memulakan perjalanan, kereta saya telah saya pastikan berada dalam keadaan yang baik.
Saya ada 2 pilihan untuk tiba di Ipoh, samada melalui lebuhraya (PLUS + ELITE + NKVE) atau melalui jalan lama (Alor Gajah, Seremban, Sepang, Kuala Selangor, Teluk Intan, Kampar, Ipoh).
Saya pilih untuk melalui kedua-duanya.
Fasa pertama perjalanan, saya melalui lebuhraya yang semestinya membuatkan saya menekan pedal minyak dengan ghairahnya!
Kelajuan meter saya mencatatkan angka 140 km/j.
Minyak yang tadinya diisi penuh, minta diisi lagi.
PHT3262 menyusur keluar dari lebuhraya di susur Tanjung Malim dan mencari stesen minyak.
Usai memenuhkan tangki minyak kereta, perjalanan disambung semula.
Entah kenapa, dalam perjalanan melalui jalan lama ini ramai yang memandang aneh kepada saya...PHT3262 barangkali.
Hingga ada seorang pakcik tua dipersimpangan lampu isyarat menunjukkan ke arah hadapan kereta.
Saya agak kurang faham walaupun jauh dibenak sudah mula gusar. Tingkap saya turunkan.
'Tayar depan kereta anak ni pancit...'
PHT3262 terus diberhentikan di tepi jalan untuk saya pastikan keadaannya.
'Fuuhhh...hurrmmm, tayar spare ada di dalam bonet kereta' dengus hati yang pasrah.
Maka bergerak la PHT3262 dengan keadaan yang sangat berhati-hati, 50 km/j menuju ke bengkel berdekatan.
Setelah selesai segala urusan menukar tayar, perjalanan diteruskan.
Dengan selamatnya, saya tiba ke destinasi yang dituju, Ipoh.
Perjalanan = hidup
Ipoh = destinasi abadi, Syurga
Kereta = diri kita
Hidup ibarat sebuah perjalanan menuju ke destinasi yang dinanti...menaiki kereta yang dipandu sendiri...zahirnya kita melihat gelagat kereta lain, ada yang laju, ada yang kemek remuk, ada yang lampunya mati...kita juga tahu bahawa hal itu akan memberi musibah kepada mereka...lantas kita hanya berdiam, WAJARKAH?
Kita tidak tahu keadaan kereta kita sehingga ada pemandu lain yang prihatin menegur...lantas kita terngadah sendirian. Barulah ada usaha untuk memperbaiki kereta sendiri, itupun hanya jika kita sedar akan kelemahan itu dan mahu memperbaikinya. Sekiranya, sebaliknya.....??
Kejadian manusia itu memang telah dijadikan dengan serba kekurangan, kelemahan..agar manusia itu senantiasa memperbaikinya. Pendapat, teguran dari insan lain itu perlu untuk kita lebih mengenali diri kita. Tidak semua perkara itu kita tahu secara menyeluruh, hakikatnya kita hanya melihat dan tahu seperdua sahaja, walhal bakinya diketahui oleh insan disekeliling kita yang memerhati dan melihat kita.
Sepertimana kita melihat kelemahan, kekurangan yang ada pada insan lain, begitu jualah mereka melihat kita. Ambillah kata-kata mereka itu sebagai suatu permulaan untuk melangkah ke arena kejayaan!
The diversity of human must be appreciated!
Expect the Unexpected!