20110719

Perginya: Menyemarak bara juangku

Zaman Sekolah dan Kolej, merupakan zaman buta politik buat saya. Tiada sekelumit rasa pun mahu ambil tahu. Namun, apabila akhbar melaporkan pelbagai cerita dan kisah sepanjang Pilihanraya Umum 2004, saya baca juga. Sekadar baca. Seingat saya diketika itu, ada satu senarai calon yang menang dalam sisipan akhbar. Saya baca satu per satu nama yang menang dan dari parti mana. Mata saya terpaku lama apabila membaca nama 'Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (PAS) - Parlimen Bukit Gantang'. Hati kecil saya berkata, "perempuan?! Wah..mesti bukan calang-calang insan ini.". Sejak itu, saya mula sedikit demi sedikit mengagumi dan mengikuti perkembangan politik beliau. Kagum. Itu sahaja dapat saya katakan.

Pilihanraya Umum menerjah lagi. Pada tahun 2008, waktu ini saya sudah melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia dan menyandang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar. Isu politik sudah mula saya ambil tahu dan mesti tahu. Melihatkan kepada senarai yang bertanding, mata saya ligat mencari nama 'Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali'. Ada! Kali ini mencabar lawannya di Parlimen Titiwangsa. Saya sangat tertarik dan kagum melihat setiap gambar penamaan calon yang menampilkan beliau. Entah kenapa. Seperti ada suatu aura yang memanggil-manggil untuk saya terus mengenali beliau. Kagum dengan semangat dan gelombang 'wanita' yang dibawanya.

Saya amat teruja mahu menantikan keputusannya. Seperti dijangka dan diduga, Srikandi pejuang Islam era baru ini bisa mengalahkan lawannya. Allahuakbar! Kali ini, saya benar-benar menanamkan niat dan azam mahu bersua muka dengan wanita hebat ini. Perkembangan beliau selalu saya update dari jauh. Jauh disudut hati, saya sungguh terdorong untuk menurut jejak beliau. Suatu hari, mungkin.

Dan, dengan izinNya. Pada pertengahan tahun 2010, saya sempat bersua muka, berjabat tangan dengan beliau di Melaka. Dalam ucapan beliau, ada satu ayat yang saya pegang hingga kini. "Jangan me'muslimat'kan Nisa'.", bunyinya agak pelik sedikit. Hanya yang tahu bisa mengerti akan makna tersirat beliau. Itulah juga, antara titik tolak saya mula menjadi penggerak Nisa'.

Kini, semangat itu terus meresap dan membahang dalam diri ini. Agenda Nisa' yang saya sendiri rangka dengan bantuan Mantan Pengarah Nisa' Malaysia, Dr. Rosni Adam untuk menubuhkan satu pasukan 'training' di bawah Nisa' NGO pasti saya laksanakan. Sebagai manusia biasa, adakala semangat saya jatuh. Namun, diketika itu juga bara perjuangan Allahyarhamah Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali akan menyemarak semula semangat saya!

Dua minggu lalu, mendapat perkhabaran tentang keadaan beliau yang tenat. Hanya doa tiada henti mampu saya kirimkan. Dan, hanya mengetahui berita pemergian beliau pada jam 12.55am 18 Julai 2011. Hati terus dirundung hiba kerana baru berhajat mahu beriring dengan sahabat Nisa' untuk menziarah beliau di hospital. Apakan daya...Kuasa Allah itu adalah MAHA segala. Sugul perjalanan pulang saya ke Bandar Tun Razak dari tempat perguruan. Jarang sekali hati ini berhiba durja. Ternyata, beliau adalah seorang yang memberi impak dalam hidup saya!

Belangsungkawa Allahyarhamah YB Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Pergi mu dijemput pemilik segenap alam
Diriku juga tidak terkecuali
Cuma kini adalah masamu
Namun, semangatmu tetap berbenak
Membahang dan membakar
Dijiwa-jiwa kami yang tegar
Untuk melihat Islam kembali dijulang
Moga rohmu tenang di sana
Berehatlah duhai Bonda...

Al-Fatihah.


Expect the Unexpected!

1 comment:

  1. salam juang... salam rindu ;) ahakss lama xjumpe master NMM.

    kita semua turut akan pergi tak kembali..cuma belum ketahuan bila..di mana...bagaimana...semua segala W tu..

    well, live must go on. teruskn perjuangan misi..gagasan kita utk memartabatkan ISLAM hingga ke puncak ;)

    wanna inivite u soon.. for big event NS-JNS 2011. soon i'll sms n gv u email once KKD approve!

    keep up ur marvelous momentum ya!!
    c u soon!!
    barakallahu...

    ReplyDelete