20100806

Teruskan...

Adakala diri ini teguh berdiri berhadapan dengan segala kerumitan hidup yang sering bertandang tanpa diduga. Bukan dek kerana kebalnya diri atau kuatnya kudrat, hanya dek rasa MAHU meneruskan kayuhan langkah pada roda hidup yang hanya kan terhenti bila diarah Tuannya. Bukan jua suatu yang mudah untuk meLAWAN segala yang merenggut hebat ketenangan jiwa insan. Keyakinan dan kepercayaan yang teguh terhadap diri sendiri, itulah yang menjadi azimat meneruskan tarian rentak irama hidup.

Adakala diri ini longlai bertapak pada Bumi Tuhan yang terlalu banyak kelalaian dan kealpaan bermaharajalela disegenap ruang mata. Bukan dek kerana tiada kawalan Iman pada diri, hanya dek rasa kerdilnya jiwa HAMBA yang seringkali berasa mudah terpengaruh dan terikut akan asyiknya irama arus duniawi itu. Hakikatnya bukanlah sukar untuk terus berTAHAN berperang dengan godaan yang menusuk dijiwa itu. Ketelusan menjalani hidup dan berbaik sangka dengan Sang Pencipta itulah kunci menuju pintu keluar kesesakkan lelah kelalaian dan kealpaan.


Berbicara mengenai kejayaan.

Penafsirannya pasti berbeda buat setiap insan kerana KEJAYAAN itu dilihat dari pelbagai sudut dan aspek kehidupan. Kita sendiri yang meletakkan tanda aras atau tahap pemahaman terhadap makna KEJAYAAN itu. Ironinya, KEJAYAAN adalah keberhasilan suatu usaha.

Jika kita melihat KEJAYAAN itu pada genggaman ijazah, secara automatiknya kita telahpun mengecilkan skop KEJAYAAN kita yang seterusnya. Pasti pekerjaan yang seiring atau setara dengan ijazah itu yang diharapkan untuk dijadikan kerjaya masa depan. Apakah maksudnya kita gagal, sekiranya tidak mendapat pekerjaan setara ijazah yang digenggam? Adakah dikatakan tidak berjaya, andai kita menceburkan diri dalam perkara lain?

Jika kita meletakkan KEJAYAAN itu pada pegangan aset seperti memiliki rumah mewah, memandu kereta berteknologi, memakai pakaian berjenama duit simpanan berjuta dan sebagainya, nescaya jika tidak dapat memperolehi semua itu, pasti KEJAYAAN itu sudah tiada ertinya lagi. Kita sendiri yang menutup ruang untuk menempa KEJAYAAN kerana meletakkan suatu yang diri kita sendiri tidak pasti untuk mengecapinya sebagai tanda aras KEJAYAAN.

KEJAYAAN itu sewajarnya disematkan dalam diri, bahawasanya ia adalah suatu rahmat dan nikmat Tuhan kepada hambaNya. Sedari tercantumnya benih didalam rahim ibu, bayi hingga ke usia kini, sudah terlalu banyak episod KEJAYAAN yang kita tempuhi. Mana mungkin kita masih bernafas jika kita sejak awal lagi telah tewas!
  1. Dalam berjuta sperma ayah, hanya 1 berjaya bersenyawa dengan ovum ibu, itulah kita dan KEJAYAAN pertama itulah yang membawa kita ke dunia ini.
  2. Sewaktu kecil, sebelum ligat berlari, kita berusaha untuk meniarap terkadang hingga lelah dalam usaha itu. Namun, tetap kita laksanakan hingga menemui KEJAYAAN dan seterusnya merangkak.
  3. Tak cukup dengan itu, kita lihat abang dan kakak berdiri dan berjalan, kita pun mahu seperti itu. Otot-otot kaki dipaksa untuk mengankat dan menampung berat badan. Berkali kita jatuh! Tetap jua digagahi untuk beroleh KEJAYAAN berdiri, seterusnya berjalan.
  4. Setidak-tidaknya semua insan telah pun menunjukkan KEJAYAAN mereka menamatkan, sejak diperingkat awal pendidikan, tadika hingga ke peringkat tertinggi individu untuk meneruskan hidup samada berjuang di medan akademik, mahupun kerjaya.
Nah, kejuaraan kita seharusnya menjadi azimat diri bahawa KEJAYAAN itu adalah milik kita! Hanya kita yang mampu menganugerahkan diri dengan piala KEJAYAAN! Jangan pernah membuat benteng untuk meraih mercu diarena KEJAYAAN!

Justeru, sikap yakin diri dan berani itu amat perlu dimaksimakan dalam mengharungi realiti dunia luar yang penuh dengan tipudaya, helah dan peluang. KEJAYAAN pasti menyenggah tirai hidup kita andai kita punya rasa untuk mendapatkannya!

KEJAYAAN adalah hak milik setiap insan...

~Without the first step, the journey won't begin~
"Perjalanan beribu batu itu bermula dengan langkah pertama"

Expect the Unexpected!

No comments:

Post a Comment